Walaupun ulser boleh diubati dan tidak berlarutan untuk tempoh lama, namun faktor penyebab masih tidak dikenal pasti. Ada beberapa kajian perubatan menyatakan tekanan atau kecederaan adalah antara sebab berlaku ulser.

Ada pula berpendapat beberapa makanan seperti sitrus atau buah-buahan berasid boleh mengakibatkan ulser atau menjadikannya lebih teruk. Dalam pada itu, berus gigi yang tidak bersesuaian atau berkualiti kadangkala boleh menjadi penyebab ulser.

Apabila berlaku ulser, seseorang akan mengalami beberapa tanda seperti bengkak-bengkak kecil yang pedih di bahagian mulut terutamanya di sekitar lidah, dinding mulut, lelangit atau tekak. Bengkak tersebut berwarna keputih-putihan atau kelabu dan terdapat lingkaran merah sekitarnya.

Ulser amat memedihkan dan kadangkala kesakitan dialami memberi kesan produktiviti seharian. Bagi jangkitan yang teruk, ia datang bersama demam dan kelesuan.

Oleh yang demikian, amat penting bagi seseorang itu menjaga kebersihan dan keselamatan di bahagian mulut agar tidak dijangkiti ulser yang boleh mengakibatkan rasa tidak selesa.

Ruangan Kesihatan kali ini berkongsi beberapa kaedah mudah bagi mengatasi ulser di mulut. Kaedah-kaedah ini dipercayai berkesan merawat masalah tersebut.

Air garam

Kaedah tradisional ini amat popular dan telah dilaksanakan sejak zaman dahulu lagi. Anda boleh berkumur dengan air garam dua atau tiga kali sehari bagi mengurangkan kesakitan atau mematikan kuman yang mengakibatkan ulser. (P/S: Kalau nak letak secubit garam pun boleh dekat ulser, tapi kesannya memang “indah” tidak terkata”)

Air kelapa

Kenaikan suhu tubuh manusia juga merupakan salah satu penyebab berlaku ulser. Oleh yang demikian, adalah penting bagi seseorang itu minum air mencukupi atau amalkan minum air kelapa untuk mengimbangi suhu badan.

Marjerin

Mungkin ramai tidak tahu marjerin berupaya menyembuhkan ulser mulut. Anda hanya perlu letakkan marjerin di sekitar kawasan terkena ulser dan ulangi sehingga ulser betul-betul sembuh. Petua ini sesuai bagi kanak-kanak kerana tidak menyakitkan.

Madu

Umum mengetahui kebaikan dan manfaat madu terhadap kesihatan. Agen pembunuh bakteria yang terkandung dalam madu mampu menyembuhkan luka dan jangkitan dengan cepat. Begitu juga ulser, madu mampu merawat penyakit tersebut dengan berkesan.

Soda penaik

Soda penaik dipercayai mampu menyembuhkan luka termasuk ulser. Dengan campuran bersama sedikit air suam, ia boleh di letakkan di bahagian yang dijangkiti ulser untuk penyembuhan pantas.